Katakanlah (Muhammad), "Wahai kaumku! Berbuatlah menurut kedudukanmu, akupun berbuat (demikian). Kelak kamu akan mengetahui, siapa yang akan memperoleh tempat (terbaik) di akhirat (nanti). Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak akan beruntung".- al-An'am:135

dakwah, politik islam, info, isu semasa, link

الثلاثاء، 17 أبريل 2012

MEDIA DAN PILIHAN RAYA ADIL


Ditulis oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Demokrasi adalah hak rakyat untuk menjadi hakim dalam sistem politik moden, sebagai satu proses untuk memilih kepimpinan mereka. Terminologi akar umbi “dēmokratía” yang berasal dari bahasa Greek ini memberi maksud – “rule by the people” atau “pemerintahan oleh rakyat”. Pemahaman terhadap maksud demokrasi ini yang pada pandangan Barat tidak mempunyai kaitan dengan Tuhan Yang maha Pencipta, telah diperkembangkan dan disuntik roh hubungan manusia-Tuhan menerusi pandangan para sarjana Islam dalam bentuk penulisan di sepanjang zaman kegemilangan Islam. Antaranya kitab-kitab hasil karangan para ulama Islam dalam aspek politik seperti karya tersohor Muqaddimah karangan Ibnu Khaldun (1332-1406 M), Al Mawardi (972-1058 M), Al Ghazali (1058 - 1111M), Imam Al Haramain Al Juwayni (1028 -1085M ), Ibnu Taimiyyah (1263 -1328M), Ibn Qayyim al-Jawziyyah (1292-1350M) dan lain-lainnya yang turut diterjemahkan ke dalam bahasa Eropah. Encyclopaedia Britannica (15thed.,Vol.9, p.148) antaranya memuatkan testimoni ahli sejarah British, Arnold J.Toynbee, memperakukan bahawa karya Muqaddimah adalah “membicarakan aspek falsafah sejarah yang paling hebat pernah ditulis oleh sesiapa di sepanjang zaman”.

Sebelumnya negara-negara Eropah yang dihimpit kezaliman terpaksa melakukan revolusi berdarah yang mengorbankan raja, pemimpin dan rakyat.

Sekiranya kita mengkaji hal ini secara lebih jauh dan mendalam, Al-Quran sebenarnya telah menceritakan kisah-kisah benar perjuangan para Rasul A.S. berdakwah, umpamanya Nabi Ibrahim dan Nabi Musa AS, para nabi ini dalam masa yang sama menentang kerajaan yang zalim, menindas dan memperhambakan rakyat, serta menyalah gunakan harta negara mengikut hawa nafsu. Walau pun tamadun kebendaannya tersergam menakjubkan, seperti 138 buah binaan Piramid di Mesir, Petra di Jordan, yang kesemuanya masih menjadi kesan sejarah yang dibanggakan sehingga zaman terkini, tetapi dilupakan betapa tamadun itu dibina di atas mayat-mayat rakyat yang diperhambakan.

Semua kerajaan zalim ini dinamakan jahiliyyah, walau pun dianggap bertamadun, semuanya berakhir dengan kejatuhan yang meninggalkan nama-nama buruk yang dikutuk dalam catatan sejarah, walau pun meninggalkan bangunan dan binaan yang indah. Ramai yang tidak menyedari bahawa Allah SWT mengutuskan para Rasul memimpin rakyat menentang kerajaan-kerajaan yang sangat zalim itu.

Apabila Nabi Muhammad SAW berjaya menegakkan negara dengan petunjuk Al Quran dengan sempurna sehinggalah wafat meninggal dunia, Baginda SAW telah berjaya mendidik para sahabatnya. Dalam sejarah generasi awal Islam, khususnya di zaman Khulafa Rasyidin yang paling banyak menjadi teladan, setiap tokoh Khalifah yang dipilih secara musyawarah menyampaikan ucapan, bahawa ketaatan kepada pemimpin adalah tidak mutlak, dinyatakan syarat yang tegas, selagi pemimpin itu tidak zalim dan tidak menyeleweng daripada perintah Allah dan Rasul.

Para ulama tafsir Al Quran, Hadith, sehingga ilmu Tasawuf yang paling teliti mengecualikan takrif mengumpat yang dikira dosa besar, apabila mendedahkan kejahatan yang membawa fasik daripada seseorang yang bertaraf pemimpin di kalangan ulama dan umara (ketua negara), kerana kejahatan kalangan ini sangat mempengaruhi masyarakat umum. Mereka menamakan perkara Al Jarhu wa Ta’dil, sehingga menjadi istilah ilmu Asanid(untuk mensahihkan sesuatu riwayat) dalam meriwayatkan hadith dan lain-lain sumber ajaran Islam.

Para ulama Islam dengan tegas menyatakan pendedahan kejahatan dan kebaikan seseorang menjadi hukum wajib apabila menjadi saksi di mahkamah, bagi menjamin berlakunya keadilan kepada hakim yang membuat keputusan. Saksi bohong pula berdosa besar dan boleh dijatuhkan hukuman mengikut ukuran sesuatu tuduhan.

Sistem Demokrasi Moden melantik rakyat menjadi hakim bagi menentukan pemimpin atau parti yang memerintah negara. Mengikut ajaran Islam pula, urusan politik memilih pemimpin adalah amanah yang sangat besar. Maka pilihan raya adalah mahkamah rakyat dalam menunaikan amanah besar ini.
Semua negara yang maju menjadikan pilihan raya sebagai peluang untuk memilih kerajaan yang adil dan mampu memajukan negara serta membela rakyat. Setiap kelemahan dan kesilapan menyebabkan kerajaan dan pemimpin akan dihukum oleh rakyat dengan adil dan telus. Para pemimpin pula mempunyai maruah tinggi dan berjiwa besar, rela dihukum dalam pilihan raya atau meletakkan jawatan sebelum pilihan raya, kalau betul-betul bersalah atau walau pun tidak bersalah. Kalau sebab fitnah maka nilai tambahnya sangat besar, kalau pun bersalah maka peluang ini dimanafaatkan untuk bertaubat dan membaiki imej.

Dalam amalan Demokrasi adil, peranan media disemua lapangan, dikira sangat penting bagi pilihanraya yang adil, kerana mereka meletakkan media sebagai saksi kepada mahkamah rakyat untuk mejatuhkan hukuman dengan adil, kerana pengundi yang membuat keputusan adil wajib mendapat maklumat yang benar dan teliti. Adalah tidak adil bagi pengundi untuk membuat keputusan dengan kempen sebelah pihak sahaja dengan pihak satu lagi mempunyai peluang yang sangat terhad, atau peluang yang tidak sama rata, tidak saksama dan adil. Keadaan terus menerus menjadi penyakit lebih parah hingga merosakkan negara kalau berlaku politik wang rasuah bagi mengabui pemikiran rakyat.

Maka cara yang benar dan adil ialah media diberi peluang secara bebas kepada semua pihak yang terlibat dalam pilihan raya, sama ada kerajaan atau pembangkang. Sehingga bertaraf sama di sepanjang masa, supaya rakyat sentiasa melakukan muhasabah terhadap kerajaan, parti dan wakil rakyat mereka. Tuduhan yang benar terimalah hukuman dengan adil, tuduhan fitnah pula terimalah padahnya, sama ada melalui undang-undang pengawalan dan pengawasan media atau keputusan rakyat dalam pilihan raya.

Ada negara yang memberi peluang secara lebih terperinci, dibuka peluang semua pemimpin utama parti berhujah dalam media, samada secara debat atau berdailog secara lansung dan terbuka. Semua pihak bukan sahaja boleh menonton dalam kaca TV, bahkan boleh melibatkan diri dengan berbagai-bagai soalan. Seluruh rakyat boleh menilai secara langsung terhadap ketokohan dan peribadi pemimpin atau bakal pemimpin dengan lebih teliti, kerana memilih pemimpin adalah amanah yang sangat berat.

Selepas pilihan raya media tetap diberi hak sepanjang masa melakukan muhasabah bagi pihak rakyat dan negara. Pihak media yang salah laku juga boleh dihukum dengan tindakan undang-undang yang adil atau dipulau oleh rakyat.

Dalam sejarah Islam, apabila Khalifah Abu Bakar RA dipilih menjadi Khalifah selepas wafatnya Rasulullah S.A.W. beliau menyampaikan ucapan sulungnya :

“Wahai tuan-tuan !, Saya telah dipilih menjadi pemimpin kamu, pada hal saya bukanlah orang yang terbaik di kalangan kamu. Sekiranya saya berlaku baik tolonglah saya, sekiranya saya melakukan kesilapan perbetulkan saya, benar adalah amanah, bohong adalah khianat “.

Inilah contoh keterbukaan seorang pemimpin yang menjadi teladan, meminta semua pihak berlaku ikhlas dan berani, jangan mengampu sehingga berbohong, yang betul dibantu, yang salah diperbetulkan, yang silap ditegur secara beradab, kalau menjadi makhluk perosak maka diturunkan dengan cara setimpal .

Para ulama melaporkan dalam kitab-kitab karangan mereka, banyak contoh di zaman keemasan sejarah Islam, apabila penganutnya disemua peringkat, pemimpin dan rakyat bersikap terbuka memberi nasihat dan teguran menunaikan kewajipan muhasabah. Hasil penulisan yang berharga ini dipungut oleh para orientalis sehingga mempengaruhi perubahan Demokrasi Moden daripada Demokrasi purba.

Kita menyaksikan berlaku berbagai-bagai peristiwa dalam dunia terkini, sejak masa terdekat di abad yang lalu dan yang paling mutakhir, apabila negara-negara dunia yang bertanggungjawab sentiasa mengislahkan (menambah baik) amalan Demokrasi masing-masing. Demokrasi pilihanraya pula bukanlah semata-mata memangkah kertas undi, tetapi hak demokrasi berpilihan raya menjangkaui semua proses pendaftaran pengundi, peraturan yang adil, media yang bebas, pihak berkuasa yang berkecuali, sehinggalah kepada kebebasan rakyat memilih tanpa sebarang elemen rasuah yang boleh mempengaruhi mereka.

Di negara Eropah dan Amerika, mereka melaksanakan hak media menjadi saksi adil kepada rakyat, termasuklah juga di negara Asia Tenggara seperti Filipina, Indonesia dan Thailand. Rakyat menukarkan kerajaan berbagai parti silih berganti melalui pilihan raya, sehingga tidak ada parti yang boleh memerintah dalam tempoh yang terlalu lama apabila melakukan kesilapan atau mengalami kelemahan. Ada juga berlaku parti yang memerintah mengundurkan diri lebih awal, apabila dituduh dalam perkara besar, memberi peluang diadakan pilihanraya semula untuk mendapat kepercayaan rakyat seperti yang berlaku di Itali dan Greece beberapa bulan lalu.

Ada yang sekadar mendapat kepercayaan di parlimen sahaja dengan memberi hak tanpa paksaan kepada wakil rakyat termasuk daripada parti kerajaan yang memerintah. Ada juga presiden atau perdana menteri atau menteri kabinet meletakkan jawatan lebih awal. Semuanya berlaku apabila terdapat pendedahan media secara adil kepada rakyat dan semua pihak merasa bertanggungjawab menunaikan amanah.

Ada negara yang berani memberi kebenaran kepada Parti politik daripada media cetak sehinggalah memiliki stesyen TV yang boleh menyatakan dasar dan perjuangan dan perbezaannya dengan kerajaan dan Parti lain. Terpulanglah kepada rakyat untuk membuat penilaian sendiri, atau semua media ini diselia menerusi undang-undang yang mengawasinya.

Malangnya masih banyak kalangan negara membangun termasuk Malaysia, ada yang mendakwa sudah bertahap maju, pada hal tercorot, bukan sahaja tercorot dalam bidang ekonomi mengisi perut rakyat, bahkan tercorok juga dalam bidang minda kefahaman berpolitik sehingga membodohkan rakyat dengan kawalan media supaya berpihak kepada parti yang menjadi kerajaan sehingga rakyat menjadi jahil murakkab (jahil yang tidak tahu dirinya jahil dan merasa bijak). Maka berlakulah minda tertutup dan terkongkong. Mana-mana pihak yang menegur kerajaan termasuk dalam kerajaan sendiri pun tidak diberi hak yang sewajarnya untuk membuka minda yang bijak memperkasakan rakyat dan kerajaan sendiri. Maka jadilah kerajaan itu Maha Suci daripada segala sifat kekurangan, walau pun pemimpinnya adalah makhluk manusia, cuma berada di singgahsana dan kerusi memerintah negara berlagak seperti Tuhan.

Menyekat kebebasan media boleh melemahkan kerajaan sendiri kerana sentiasa syok sendiri, tanpa menyedari kesilapan dan kelemahan, atau menutup kelemahan dan kesilapan secara degil, atau sentiasa menipu diri sendiri menggunakan media, akhirnya tamat riwayat cara memalukan dan terkutuk sehingga telah mati tanpa taubat, dan berada dalam kubur terus dikutuk masyarakat yang dizaliminya.

Peranan media mengikut Islam ditempatkan dalam medan Jihad Akbar sekiranya berani menyatakan benar dan adil, menentang kezaliman, kerana pengaruhnya yang besar dalam masyarakat awam yang lemah. Banyak negara melahirkan tokoh media yang berani sehingga dibunuh dan dipenjara, seperti di negara komunis di zaman tabir dan kuku besi, negara barat dan negara Asia dan Afrika juga melahirkan tokoh Islah di kalangan media.

Bagi umat Islam kerajaan dan pemimpinnya adalah ujian dalam kehidupan dunia, sebelum dicabut nyawa dan disumbat kedalam kubur, memasuki alam akhirat. Maka menjadi hikmat besar apabila seseorang Islam disunatkan berwirid selepas solat dengan firman Allah SWT :

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (26) تُولِجُ اللَّيْلَ فِي النَّهَارِ وَتُولِجُ النَّهَارَ فِي اللَّيْلِ وَتُخْرِجُ الْحَيَّ مِنَ الْمَيِّتِ وَتُخْرِجُ الْمَيِّتَ مِنَ الْحَيِّ وَتَرْزُقُ مَنْ تَشَاءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ (27 ) آل عمران .

Maksudnya : “Katakanlah: "Wahai Tuhanku yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan sesiapa yang Engkau kehendaki. di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu. Engkau masukkan malam ke dalam siang dan Engkau masukkan siang ke dalam malam. Engkau keluarkan yang hidup dari yang mati, dan Engkau keluarkan yang mati dari yang hidup dan Engkau beri rezeki kepada siapa yang Engkau kehendaki tanpa hisab (batas)".

Menunjukkan bahawa Allah SWT tidak mengekalkan kerajaan yang memerintah selama-lamanya, sama ada adil atau zalim, yang kekal hanya kerajaan Allah yang mencipta dan memiliki seluruh alam. Kerajaan yang silih berganti adalah ujian menunaikan amanah dalam kehidupan dunia. Kerajaan yang adil menjadi teladan, kerajaan yang zalim menjadi iktibar.

Peranan Media wajib menjadi saksi yang adil kepada rakyat, menyatakan yang benar dan meyebarkannya dan mengkritik membina dan akhirnya mendedahkan kesilapan dan kezaliman, mengambil peluang fadilat sabda Rasulullah S.A.W. : ”Jihad paling besar pahalanya ialah menyatakan yang benar kepada kerajaan yang zalim “.

Kalangan ulama soleh menegaskan;”Orang yang diam menyembunyikan yang benar adalah syaitan bisu”.
 

Presiden PAS
9 Januari 2011 via http://presiden.pas.org.my


الثلاثاء، 20 مارس 2012

WABAK UMAT ISLAM AKHIR ZAMAN


Manusia masih tidak menyedari bahawa dunia semakin terhakis dengan pelbagai dosa dan kezaliman yang dicipta sendiri. Malah, Rasulullah s.a.w telah bersabda bahawa umat Islam akan berada dalam keadaan buruk sehingga diumpamakan bak makanan yang direbut oleh kumpulan pemangsa.

Sabda Rasulullah s.a.w: “Hampir tiba masanya kamu direbutkan seperti sekumpulan pemangsa yang merebut makanannya”. Maka seseorang bertanya: “Apakah kerana sedikitnya jumlah kita?” “Bahkan kamu banyak, namun kamu seperti buih terapung. Dan Allah telah mencabut rasa gentar dari dada musuh kamu terhadap kamu. Dan Allah telah menanamkan dalam hati kamu penyakit Al-Wahan.” Seseorang bertanya: “Ya Rasulullah, apakah Al-Wahan itu?” Nabi shollallahu ’alaih wa sallam bersabda: “Cinta dunia dan takut akan kematian.” (HR Abu Dawud 3745)

Rasulullah s.a.w telah menjelaskan perkara benar yang akan menimpa umat Islam dimasa itu sehingga menjadi terhina dan kehilangan kemuliaannya.

Bersabda Rasulullah s.a.w: “Dan Allah telah menanamkan dalam hati kamu penyakit Al-Wahan.” (HR Abu Dawud 3745)

Baginda s.a.w telah menyebut satu istilah baru yang menyebabkan para sahabat bertanya dan baginda s.a.w telah menghuraikan dengan jawapan yang ringkas tetapi jelas.

Seseorang bertanya: ”Ya Rasulullah, apakah Al-Wahan itu?” Nabi shollallahu ’alaih wa sallam bersabda: “Cinta dunia dan takut akan kematian.” (HR Abu Dawud 3745)

Penyakit akhir zaman ini merupakan satu wabak yang menular dalam diri manusia tanpa menyedari virus tersebut telah merebak dengan halus, bukan sahaja terhadap umat Islam, tetapi juga seluruh manusia di atas muka bumi ini.

PENGARAH DAN PELAKON

Umat Islam di pelusuk dunia sedang menjalani ujian yang berat dalam era kegelapan dalam sejarah Islam, di mana kaum kufar sebagai pengarah dalam sebuah cerita yang telah direka oleh mereka sendiri dan wataknya adalah umat Islam hatta ketika itulah kaum kufar menguasai segala perjalanan hidup umat Islam dengan pelbagai agenda. Maka, konsep hidup kaum kufar itulah yang mewarnai hidup mereka, sedang ia mengaburi pandangan umat Islam kini.

“Mereka hanya mengetahui yang zahir (saja) dari kehidupan dunia; sedang mereka tentang (kehidupan) akhirat adalah lalai.” (Ar-Ruum:7)

Hakikatnya, manusia akan dikembalikan kepada Allah Taala setelah mereka mengecapi kehidupan di dunia dengan diberikan pelbagai ujian yang menguji tahap iman dan takwa mereka kepada Maha Pencipta. Namun, kaum kufar tidak mengenal dan meyakini adanya kehidupan selain di dunia yang fana ini. Mereka terlalu meninginkan kemenangan, kekayaan, kekuasaan dan keseronokan dunia sehingga mereka tidak peduli dengan dunia yang akan mereka lalui selepas kematian. Mereka menyangka bahawa dunia merupakan kehidupan yang final. Malah mereka sanggup berjuang untuk meraih segala target untuk mendapati habuan duniawi. Maka, umat Islam berada dalam keadaan selamat jika Allah menginginkan mereka selamat, tetapi Rasulullah s.a.w telah memberi peringatan kepada kita semua supaya berhati-hati dengan wabak yang akan melanda umat Islam akhir zaman.

Tambahan lagi, umat Islam dipimpin oleh manusia yang bertopengkan Islam semata-mata tanpa melaksanakan pentadbiran berdasarkan hukum syariat. Dengan demikian, umat Islam yang lemah dan kehilangan giliran memimpin manusia ditindas sesuka hati agar mereka dapat melemahkan dan menjatuhkan keyakinan serta gaya hidup umat Islam.

WABAK TELAH SUBUR

Wabak yang dibawa oleh kaum kufar ini telah menyubur dalam hati umat Islam yang tidak mempedulikan soal agama dan tamakkan dunia bagai mereka ingin hidup di dunia selama-laamnya. Maka, terbitlah perasaan cintakan dunia tanpa mengingati bahawa kehidupan akhirat itulah hakikat kehidupan yang sejati. Umat Islam khususnya lupa bahawa kehidupan dunia umpama fatamorgana samada dalam kondisi bahagia atau duka.

Penyakit cintakan dunia ini telah merebak dengan serius yang menyebabkan muncul umat Islam yang akhirnya mengejar dunia dengan bersungguh-sungguh, bahkan beramal untuk mengejar akhirat. Justeru itu, Allah telah mengingatkan kepada manusia supaya mengambil urusan dunia hanya sekadar sahaja tanpa terjadinya kehinaan terhadap agama Islam, sebaliknya serius dengan urusan akhirat. 

“Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui”.
(Al-Ankabut:64)

Umat manusia telah mengatur pola kehidupan dengan tahap pencapaian yang diperolehinya. Muncul manusia yang bertaraf kaya menindas miskin, kuat meremeh lemah dan mencipta gaya hidup yang bermiripkan orang kafir. Bagi mereka, kehidupan tidak akan dihitung tanpa lingkaran kekuasaan yang diperolehi.
Kerinduan terhadap alam akhirat akan terhakis dalam hati umat Islam disebabkan kecintaan mereka terhadap dunia yang telah subur dalam diri mereka. Sebaliknya, pintu kemasukan akhirat ialah dengan kematian di dunia. Maka, muslimin yang telah lemah mental itu kehilangan persiapan dan keberanian menghadapi kematian, malah akan timbul perasaan takut dalam jiwa mereka, sedangkan Rasulullah s.a.w telah mengingatkan kepada kita agar sentiasa mengingati mati supaya kita tidak melupai Allah Taala dalam apa kondisi sekalipun.

Bersabda Rasulullah s.a.w: “Perbanyaklah mengingat pemutus kelazatan, iaitu kematian.” (HR Tirmidzi 2229)

Orang yang benyak mengingati akan kematian akan sentiasa merindui untuk berjumpa dengan Allah kerana kematian adalah jalan mereka kembali kepada Allah. 

Dari Rasulullah s.a.w: “Barangsiapa suka berjumpa dengan Allah, maka Allah akan suka berjumpa dengannya. Dan barangsiapa yang benci perjumpaan dengan Allah, maka Allah akan benci pula berjumpa dengannya.” (HR Bukhary 6026)

Dalam saat umat Islam dilingkari wabak di akhir zaman ini, semakin ramai manusia yang lalai dengan didikan Islam, apatah lagi mengingati kematian. Mereka asyik menikmati habuan dunia semata-mata dan semakin tidak segan melakukan sesuatu yang dilarang Islam kerana mereka merasakan ajal mereka belum tiba masanya sehingga mereka mencecah umur tua. Sedangkan ajal kematian akan datang dengan arahan Allah tanpa menunggu masa tua manusia.

PERSOALANNYA...

Di manakah letaknya iman dan takwa kita kepada Allah, sedangkan Allah sentiasa membuka pintu taubat kepada hamba-Nya yang lalai menjalani kehidupan sebagai umat Islam yang sebenarnya walaupun dihujani dengan wabak akhir zaman.

“Ya Allah, janganlah Engkau jadikan dunia puncak cita-cita kami dan batas akhir pengetahuan kami. Ya Allah, jadikanlah akhirat sebagai pusat perhatian kami dan mati di jalanMu adalah tujuan utama  kami. Amin”

الخميس، 8 مارس 2012

KECAPI RAHMAT TUHAN


“Allah mengembirakan mereka (orang-orang yang beriman, berhijrah dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa) memberikan rahmat, keredhaan dan syurga, mereka memperoleh kesenangan yang kekal di dalamnya, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya, di sisi Allah terdapat pahala yang besar”. – at-Taubah: 21-22

Dunia bagaikan medan untuk manusia melangkah mencari rahmat Tuhan. Namun, mereka kadangkala cenderung melakukan perbuatan yang memberi impak negatif terhadap diri-sendiri. Tiada lagi sifat yang ditonjolkan oleh Rasulullah s.a.w dalam jiwa mereka, hatta mereka terlupa melihat kekerdilan diri melalui kelemahan sendiri.

“Dunia ini bagaikan lautan dalam, ramai orang yang telah ditenggelamkannya. Oleh itu, jadikanlah takwa kepada Allah sebagai bahteramu, iman sebagai muatannya,tawakal sebagai layarnya. Semoga engkau beroleh kejayaan”. Luqman Hakim

Manusia seringkali merasa diri dikongkong apabila perbuatan tertentu dibantah, sedangkan Allah telah memberi akal fikiran kepada manusia untuk membezakan perkara buruk dan baik dalam kehidupan. Malah, apabila melihat kepada fitrah manusia, mereka tidak dapat lari daripada sifat tergesa-gesa walaupun menuntut sesuatu di luar kemampuannya. Boleh jadi apa yang kita suka tidak diredhai Allah, dan boleh jadi apa yang kita membencinya itulah yang menjadi nilaian tinggi di sisi Allah.

“Dan apabila Kami berikan sesuatu rahmat kepada manusia, nescaya mereka gembira dengan (rahmat) it u. Tetapi apabila mereka ditimpa dengan sesuatu musibah (bahaya) kerana kesalahan mereka sendiri, seketika itu mereka berputus asa”. ar-Rum: 36

Rahmat Allah itu luas. Seluas apa yang dirasai setiap detik dan ketika. Maka, bersyukur itu pasti demi mencapai rahmat Ilahi.

الثلاثاء، 21 فبراير 2012

SEDARLAH WAHAI MANUSIA


Masa tidak akan kembali dan terus berlalu, namun yang penting setiap saat dipenuhi dengan perkara yang bermanfaat untuk diri-sendiri dan umat Islam seluruhnya.

Renung kembali masa yang telah lepas

Adakah kita benar-benar  memenuhi masa dengan melakukan  perkara yang berfaedah? Bahkan, adakah kita berazam tidak akan melakukan perkara sia-sia terhadap diri-sendiri atau tidak membawa kebaikan kepada masyarakat sekeliling?

Hasan Basri: Tiada sesuatupun hari yang berlalu ke atas anak Adam kecuali ia berkata: “Wahai anak Adam, aku adalah hari yang baru dan menyaksikan amalan yang kau lakukan. Apabila ia (masa) pergi daripadamu, maka ia tidak akan kembali. Sesuatu akan wujud di hadapanmu dan sesuatu yang berakhir tidak akan berpaling kepadamu selama-lamanya”.

Duduk bermuhasabah

Masa yang lepas apabila diharapkan tiada gunanya, tetapi segala amalan akan dihisab pada hari Kiamat. Di sana, manusia akan berhadapan dengan Allah Taala dan disoal dengan segala tuntutan yang telah dipikulnya. Bagaimana mahu menggantikannya? Ke mana lagi manusia akan lari untuk melepaskan diri? Sedangkan waktu tidak akan berpaling lagi dan ketika itu jelas terasa penyesalan dalam diri.

“Dan setiap manusia telah kami kalungkan (catatan) amal perbuatan di lehernya. Dan pada hari Kiamat, Kami keluarkan baginya sebuah kitab dalam keadaan terbuka”. – Al-Isra’: 13

Bersyukurlah…

Waktu telah mengukur kita dengan apa yang telah kita lalui dan apa yang telah kita buat, juga apa yang akan kita habiskan.

Abbas r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: “Dua nikmat akan berlalu pada kebanyakan manusia, iaitu kesihatan dan kelapangan”.

Hakikatnya, waktu terlalu bernilai walaupun sedikit, namun manusia masih tidak mensyukuri nikmat tersebut kerana mereka hanyut dengan keseronokan di hadapan mata sehingga tidak berlaku penyelesaian dalam pelbagai masalah kehidupan. Manusia masih leka dibuai angan-angan yang belum tercapai, hatta masa yang ada dibiarkan sia-sia tanpa pengisian jiwa dan rasa bersalah.

Manusia masih tidak sedar bahawa mereka mempunyai tanggungjawab terhadap diri-sendiri, masyarakat dan sekeliling, bahkan lalai untuk mengikat diri-sendiri untuk pengabdian kepada Allah.

“Barangsiapa berbuat sesuai dengan petunjuk (Allah), maka sesungguhnya itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri; dan barangsiapa tersesat, maka sesungguhnya (kerugian)itu bagi dirinya sendiri. Dan seseorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain, tetapi Kami tidak akan menyiksa sebelum Kami mengutus seorang Rasul”.- al-Isra’: 15

الثلاثاء، 6 ديسمبر 2011

LALUAN MENUJU ISLAM


Perkara yang perlu dilakukan untuk hidup dalam Islam:

1.    Mengetahui matlamat hidup

“Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku”.
–Az-Zariyat: 56

2.    Mengetahui nilai dunia dengan nilai akhirat

“…..Adakah kamu lebih menyenangi kehidupan dunia daripada kehidupan akhirat? Padahal kenikmatan  hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan)  di akhirat hanyalah sedikit”.  – At-Taubah: 38
Sabda Rasulullah s.a.w: “Hari kiamat telah hampir dan manusia lagi bertambah tamak kepada dunia dan bertambah jauh dari Allah”.
(HR Tirmidzi, Ibnu Majah, Hakim)

Sabda Rasulullah s.a.w: “Dunia ini penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir”. (HR Muslim)

3.    Mengetahui dan sedar bahawa maut itu suatu perkara yang pasti dan mestilah mengambil pengajaran daripadanya.
“Semua yang ada di bumi itu akan binasa, tetapi wajah Tuhanmu yang memiliki kebesaran dan kemuliaan tetap kekal”. –Ar-Rahman: 26-27

“Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Dan hanya pada hari kiamat sajalah diberikan dengan sempurna balasanmu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sungguh, dia memperolehi kemenangan. Kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya”. – Ali-‘Imran:185

4.    Mengetahui hakikat Islam dengan mendalami, mempelajari dan mengetahui dasar-dasar Islam, hukum-hukumnya dan halal-haramnya.

“Maka, Maha Tinggi Allah, Raja yang sebenar-benarnya. Dan janganlah engkau (Muhammad) tergesa-gesa membaca Al-Quran sebelum selesai diwahyukan kepadamu, dan katakanlah, “Ya Tuhanku, tambahkanlah ilmu kepadaku”. – Taha: 114

Sabda Rasulullah s.a.w: “Sesungguhnya para anbia’ itu tidak meninggalkan pusaka (daripada) dinar dan dirham, tetapi mereka meninggalkan ilmu. Barangsiapa yang menerimanya beliau akan menerimanya dengan bahagian yang lumayan”. (HR Abu Daud)

5.    Mengetahui hakikat Jahiliah dengan cara mengenali aliran fikiran, mazhab dan garis perjuangannya, di samping mencari ketempangan dan kecacatannya.

“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan  kebohongan terhadap Allah padahal dia diajak kepada Agama Islam? Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.- As-Saff: 7

6.    Mengetahui bahaya dan bencana kejahatan musuh-musuh Islam supaya dapat mengelakkan tipu dayanya dan di samping dapat membuat persediaan yang sepatutnya untuk menghadapi dan memeranginya.

“Mereka hendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan (mulut) ucapan-ucapan mereka, tetapi Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya meskipun orang-orang kafir membencinya”. As-Saff: 8


أنتم مشغولين بربكم... وليسوا بنفسكم...