Katakanlah (Muhammad), "Wahai kaumku! Berbuatlah menurut kedudukanmu, akupun berbuat (demikian). Kelak kamu akan mengetahui, siapa yang akan memperoleh tempat (terbaik) di akhirat (nanti). Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak akan beruntung".- al-An'am:135

dakwah, politik islam, info, isu semasa, link

الثلاثاء، 20 مارس 2012

WABAK UMAT ISLAM AKHIR ZAMAN


Manusia masih tidak menyedari bahawa dunia semakin terhakis dengan pelbagai dosa dan kezaliman yang dicipta sendiri. Malah, Rasulullah s.a.w telah bersabda bahawa umat Islam akan berada dalam keadaan buruk sehingga diumpamakan bak makanan yang direbut oleh kumpulan pemangsa.

Sabda Rasulullah s.a.w: “Hampir tiba masanya kamu direbutkan seperti sekumpulan pemangsa yang merebut makanannya”. Maka seseorang bertanya: “Apakah kerana sedikitnya jumlah kita?” “Bahkan kamu banyak, namun kamu seperti buih terapung. Dan Allah telah mencabut rasa gentar dari dada musuh kamu terhadap kamu. Dan Allah telah menanamkan dalam hati kamu penyakit Al-Wahan.” Seseorang bertanya: “Ya Rasulullah, apakah Al-Wahan itu?” Nabi shollallahu ’alaih wa sallam bersabda: “Cinta dunia dan takut akan kematian.” (HR Abu Dawud 3745)

Rasulullah s.a.w telah menjelaskan perkara benar yang akan menimpa umat Islam dimasa itu sehingga menjadi terhina dan kehilangan kemuliaannya.

Bersabda Rasulullah s.a.w: “Dan Allah telah menanamkan dalam hati kamu penyakit Al-Wahan.” (HR Abu Dawud 3745)

Baginda s.a.w telah menyebut satu istilah baru yang menyebabkan para sahabat bertanya dan baginda s.a.w telah menghuraikan dengan jawapan yang ringkas tetapi jelas.

Seseorang bertanya: ”Ya Rasulullah, apakah Al-Wahan itu?” Nabi shollallahu ’alaih wa sallam bersabda: “Cinta dunia dan takut akan kematian.” (HR Abu Dawud 3745)

Penyakit akhir zaman ini merupakan satu wabak yang menular dalam diri manusia tanpa menyedari virus tersebut telah merebak dengan halus, bukan sahaja terhadap umat Islam, tetapi juga seluruh manusia di atas muka bumi ini.

PENGARAH DAN PELAKON

Umat Islam di pelusuk dunia sedang menjalani ujian yang berat dalam era kegelapan dalam sejarah Islam, di mana kaum kufar sebagai pengarah dalam sebuah cerita yang telah direka oleh mereka sendiri dan wataknya adalah umat Islam hatta ketika itulah kaum kufar menguasai segala perjalanan hidup umat Islam dengan pelbagai agenda. Maka, konsep hidup kaum kufar itulah yang mewarnai hidup mereka, sedang ia mengaburi pandangan umat Islam kini.

“Mereka hanya mengetahui yang zahir (saja) dari kehidupan dunia; sedang mereka tentang (kehidupan) akhirat adalah lalai.” (Ar-Ruum:7)

Hakikatnya, manusia akan dikembalikan kepada Allah Taala setelah mereka mengecapi kehidupan di dunia dengan diberikan pelbagai ujian yang menguji tahap iman dan takwa mereka kepada Maha Pencipta. Namun, kaum kufar tidak mengenal dan meyakini adanya kehidupan selain di dunia yang fana ini. Mereka terlalu meninginkan kemenangan, kekayaan, kekuasaan dan keseronokan dunia sehingga mereka tidak peduli dengan dunia yang akan mereka lalui selepas kematian. Mereka menyangka bahawa dunia merupakan kehidupan yang final. Malah mereka sanggup berjuang untuk meraih segala target untuk mendapati habuan duniawi. Maka, umat Islam berada dalam keadaan selamat jika Allah menginginkan mereka selamat, tetapi Rasulullah s.a.w telah memberi peringatan kepada kita semua supaya berhati-hati dengan wabak yang akan melanda umat Islam akhir zaman.

Tambahan lagi, umat Islam dipimpin oleh manusia yang bertopengkan Islam semata-mata tanpa melaksanakan pentadbiran berdasarkan hukum syariat. Dengan demikian, umat Islam yang lemah dan kehilangan giliran memimpin manusia ditindas sesuka hati agar mereka dapat melemahkan dan menjatuhkan keyakinan serta gaya hidup umat Islam.

WABAK TELAH SUBUR

Wabak yang dibawa oleh kaum kufar ini telah menyubur dalam hati umat Islam yang tidak mempedulikan soal agama dan tamakkan dunia bagai mereka ingin hidup di dunia selama-laamnya. Maka, terbitlah perasaan cintakan dunia tanpa mengingati bahawa kehidupan akhirat itulah hakikat kehidupan yang sejati. Umat Islam khususnya lupa bahawa kehidupan dunia umpama fatamorgana samada dalam kondisi bahagia atau duka.

Penyakit cintakan dunia ini telah merebak dengan serius yang menyebabkan muncul umat Islam yang akhirnya mengejar dunia dengan bersungguh-sungguh, bahkan beramal untuk mengejar akhirat. Justeru itu, Allah telah mengingatkan kepada manusia supaya mengambil urusan dunia hanya sekadar sahaja tanpa terjadinya kehinaan terhadap agama Islam, sebaliknya serius dengan urusan akhirat. 

“Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui”.
(Al-Ankabut:64)

Umat manusia telah mengatur pola kehidupan dengan tahap pencapaian yang diperolehinya. Muncul manusia yang bertaraf kaya menindas miskin, kuat meremeh lemah dan mencipta gaya hidup yang bermiripkan orang kafir. Bagi mereka, kehidupan tidak akan dihitung tanpa lingkaran kekuasaan yang diperolehi.
Kerinduan terhadap alam akhirat akan terhakis dalam hati umat Islam disebabkan kecintaan mereka terhadap dunia yang telah subur dalam diri mereka. Sebaliknya, pintu kemasukan akhirat ialah dengan kematian di dunia. Maka, muslimin yang telah lemah mental itu kehilangan persiapan dan keberanian menghadapi kematian, malah akan timbul perasaan takut dalam jiwa mereka, sedangkan Rasulullah s.a.w telah mengingatkan kepada kita agar sentiasa mengingati mati supaya kita tidak melupai Allah Taala dalam apa kondisi sekalipun.

Bersabda Rasulullah s.a.w: “Perbanyaklah mengingat pemutus kelazatan, iaitu kematian.” (HR Tirmidzi 2229)

Orang yang benyak mengingati akan kematian akan sentiasa merindui untuk berjumpa dengan Allah kerana kematian adalah jalan mereka kembali kepada Allah. 

Dari Rasulullah s.a.w: “Barangsiapa suka berjumpa dengan Allah, maka Allah akan suka berjumpa dengannya. Dan barangsiapa yang benci perjumpaan dengan Allah, maka Allah akan benci pula berjumpa dengannya.” (HR Bukhary 6026)

Dalam saat umat Islam dilingkari wabak di akhir zaman ini, semakin ramai manusia yang lalai dengan didikan Islam, apatah lagi mengingati kematian. Mereka asyik menikmati habuan dunia semata-mata dan semakin tidak segan melakukan sesuatu yang dilarang Islam kerana mereka merasakan ajal mereka belum tiba masanya sehingga mereka mencecah umur tua. Sedangkan ajal kematian akan datang dengan arahan Allah tanpa menunggu masa tua manusia.

PERSOALANNYA...

Di manakah letaknya iman dan takwa kita kepada Allah, sedangkan Allah sentiasa membuka pintu taubat kepada hamba-Nya yang lalai menjalani kehidupan sebagai umat Islam yang sebenarnya walaupun dihujani dengan wabak akhir zaman.

“Ya Allah, janganlah Engkau jadikan dunia puncak cita-cita kami dan batas akhir pengetahuan kami. Ya Allah, jadikanlah akhirat sebagai pusat perhatian kami dan mati di jalanMu adalah tujuan utama  kami. Amin”

ليست هناك تعليقات:

إرسال تعليق

أنتم مشغولين بربكم... وليسوا بنفسكم...